
Dr Sivanathan menunjukkan beg berisi sarang burung layang-layang yang cuba diseludup keluar oleh dua lelaki tetapi berjaya di kesan di LCCE, Sepang, semalam
KUALA LUMPUR, Selasa 22 Jan.--Taktik dua lelaki untuk melancong ke luar negara bermain golf akhirnya terbongkar setelah mesin pengimbas di lapangan terbang mengimbas barangan yang cuba diseludup keluar. Imbasan terhadap beg mereka termasuk beg kayu golf menemui sarang burung laying;layang bermutu tinggi bernilai kira-kira RM70,000.Penemuan itui hasil kerjasama polis bantuan Malaysia Airport Berhad Terminal Tambang Murah LCCT Sepang dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Menurut Pengarah Perundangan dan Penguatkuasaan Perhilitan Dr Sivananthan Elagupillay, pemeriksaan menemui 14 kilogram disyaki sarang burung laying-layang gua (edible-nest swiftlet - aerodramus fuciphagus) bernilai kira-kira RM70,000.
Kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 40 an kemudiannya ditahan. Mereka diikat jamin RM2,000 setiap seorang sehingga dihadapkan ke mahkamah 12 Februari depan.
Menurut beliau, penyeludup biasanya menggunakan taktik mengisi sarang burung itu dalam beg pakaian, beg sukan, serta kotak dan diisi dalam plastik hitam.
Malaysia merupakan antara pengeluar terbesar dunia selepas Indonesia serta Thailand dan mendapat permintaan tinggi terutama di China dan Hong Kong.
Sarang burung layang-layang bernilai tinggi di pasaran antarabangsa mencecah sehingga RM 5,000 sekilogram. Bulan lalu, barangan serupa bernilai kira-kira RM 780,000 dirampas di lokasi sama dan lapan lelaki ditahan.Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM 3,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-dua sekali di bawah seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1976, akta 76.